“Apakah ada kebarangkalian semua yang kita rancang itu tidak berlaku?” saya bertanya.

Para peserta mengangguk.

“Apakah semua yang berada di universiti pasti mendapat segulung ijazah yang dikejar?” saya bertanya lagi.

Para peserta menggelengkan kepala.

“Apakah semua yang telah berjaya mendapat segulung ijazah pasti mendapat pekerjaan?” saya menyambung tanya.

Peserta sekali lagi menggelengkan kepala.

“Apakah semua yang telah bekerja berjaya kahwin?” saya menambah soalan.

“Insya Allah, Insya Allah!” jawab peserta sambil sebahagiannya ketawa manakala sebahagian lagi tersenyum.

“Apakah semua yang berkahwin pasti mendapat anak?” saya menyoal lagi.

Mereka menidakkannya dengan gelengan kepala.

“Apakah semua yang sudah beranak sempat tua?” saya belum selesai menyoal.

Benar sekali.

Semua yang dirancang itu mungkin berlaku mungkin tidak berlaku. Hanya satu sahaja yang pasti terjadi.

Bersedia, ia akan datang. Tidak bersedia pun ia datang. Berfikir mengenainya dia hadir. Tidak pedulikannya pun ia hadir.

Itulah mati.

“Jadi, yang sebenar-benarnya ialah, saya patut memanggil anda semua sebagai WAHAI BAKAL-BAKAL JENAZAH sekalian, betul tak?” saya bertanya.

Peserta tersentak.

Mereka ketawa.

“Kalau saya panggil wahai bakal Datuk, mungkin tak jadi Datuk. Kalau saya panggil wahai bakal Puan Seri, mungkin tak jadi Puan Seri. Apa yang betulnya ialah dengan memanggil anda sebagai ‘wahai bakal-bakal jenazah sekalian’, betul tak?” saya menyoal.

Peserta ketawa tetapi untuk hanya sesaat. Kemudian wajah mereka berubah.

Memberi satu pukulan maut ketika manusia sedang ketawa amat besar kesannya. Bukan mentertawakan sesiapa. Tetapi mentertawakan diri sendiri. Diri sendiri yang terlupa akan hakikat sejelas itu.

Pendekatan ini mengingatkan saya kepada sesuatu yang saya pelajari daripada Edward de Bono. Beliau menghuraikan di dalam bukunya, I am Right, You are Wrong, bahawa “minda itu adalah seumpama sebuah mesin yang menyesuai kenalkan pelbagai corak. Fungsinya berupa proses mengenalpasti cerita dan tindak tanduk, kemudian meletakkan mereka ke corak-corak yang biasa. Apabila corak yang biasa itu terganggu, dan hubungan alternatif yang baru terbentuk di dalam otak melalui jaringan yang lain, maka ketawa akan muncul kerana hubungan yang baru itu terbentuk.”

Ini adalah penjelasan yang baik tentang seni lawak dan ketawa.

Kita menekuni sesuatu, tiba-tiba hujungnya berubah kepada sesuatu di luar jangkaan. Inilah yang mencetuskan ketawa.

LAWAK DAN CERAMAH

“Saya tak suka ceramah ustaz itu. Dia selalu buat lawak. Sunnah ke lawak tu?” tegas seorang anak muda.

Ya, adakah melawak itu Sunnah?

Jika melawak itu melawak yang tidak senonoh, berlebihan, menghina atau berakhir tanpa sebarang manfaat, maka jelas sekali ia jauh daripada ajaran Islam.

Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Janganlah kamu membanyakkan ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati” [Hadith riwayat Ahmad dan Ibn Majah]

Banyak ketawa, banyak bermain, banyak bercakap, banyak menangis atau apa sahaja yang keterlaluan, pasti akan menjurus kepada kemudaratan dan kemurkaan Allah. Banyak itu yang perlu dipelajari kesesuaiannya. Bukan dengan meninggalkan keseluruhan perbuatan yang asalnya harus itu.

Demikianlah juga halnya dengan bergurau, melawak dan ketawa.

Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu menceritakan, bagaimana pada suatu ketika para sahabat kaget dengan gurauan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Lalu mereka bertanya, “Ya Rasulullah, sesungguhnya kamu bergurau senda dengan kami?”

Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjawab:

Ya,aku juga bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan perkara yang benar sahaja[Hadith riwayat al-Tirmidhi dan Ahmad]

Bergurau jenaka dan ketawa adalah seni kehidupan manusia.

Kebolehan manusia untuk ketawa adalah sebahagian daripada fitrah dirinya yang memerlukan makanan. Apabila manusia ketawa, keseluruhan kondisi dirinya menjadi positif dan ia menjadikan manusia itu senang lagi disenangi. Tidak menghairankan apabila lawak jenaka, kelucuan, gurau senda, senyum dan ketawa wujud di sepanjang sejarah kehidupan manusia, termasuk di lingkungan kehidupan era Nubuwwah bersama baginda Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

JENAKA DI ERA NUBUWWAH

“Wahai Utusan Allah, doakanlah buatku agar aku masuk ke Syurga” kata seorang wanita tua kepada baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

“Wahai ibu fulan bin fulan, orang tua tidak masuk ke Syurga!” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, bergurau.

Wanita tua itu terkejut dengan jawapan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam lalu menangis dan meninggalkan majlis.

Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam memberitahu sahabat, “beritahulah kepadanya bahawa beliau tidak akan masuk ke Syurga sebagai seorang tua, kerana Allah Subhanahu wa Ta’aala berfirman: Sesungguhnya Kami telah menjadikan perempuan-perempuan itu istimewa. Yang Kami jadikan mereka itu gadis dara semuanya [al-Waaqi’ah 56: 35-36]“

Kisah ini diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dengan martabat Hasan.

Begitulah watak Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Baginda bergurau dengan mekanisme kata-kata seperti ironi, sarcasm dan permainan perkataan (wordplay) iaitu kerangka-kerangka jenaka yang biasa diulas daripada aspek psikologi semasa. Baginda menjadikan perbualan, pengajaran dan kehidupan hariannya bersama sahabat hidup lagi bersifat manusiawi.

Kerana itu, baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam boleh mengajak isterinya Aishah radhiyallaahu ‘anha berlumba lari.

Baginda juga bergurau dengan kanak-kanak seperti gurauan baginda dengan Abu ‘Umayr yang bermain dengan Nughair.

Malah gaya yang kasual itu turut ditemui di dalam kehidupan para sahabat yang hidup di sekeliling baginda.  Di dalam al-Adab al-Mufrad, al-Imam al-Bukhari melaporkan daripada Bakr ibn ‘Abdillah, beliau berkata: “Parasahabat Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu, mereka sering membaling-baling sesama mereka kulit tembikai ke arah satu sama lain. Tetapi dalam keadaan-keadaan yang serius, mereka adalah lelaki-lelaki yang benar”

SAHABAT YANG KELAKAR

Abu Bakr radhiyallahu ‘anhu bermusafir ke Busra untuk urusan perniagaan.

Bersama dengan beliau adalah dua orang sahabat iaitu Nu’ayman dan Suwaybit ibn Harmalah radhiyallaahu ‘anhuma. Mereka berdua adalah Ahli Badr. Suwaybit telah diamanahkan dengan tugasan menguruskan makanan di sepanjang musafir itu.

“Berilah aku makan!” kata Nu’ayman.

Beliau yang kelaparan meminta makanan daripada Suwaybit.

“Tidak boleh, sehinggalah Abu Bakr pulang!” tegas Suwaybit.

Nu’ayman adalah seorang lelaki yang terkenal dengan sifatnya yang suka berjenaka. Ketegasan Suwaybit telah mencetus sesuatu di dalam dirinya. Nu’ayman telah pergi kepada sekumpulan mereka yang membawa binatang ternak bersama.

“Mahukah kamu membeli seorang hamba Arab yang degil?” Nu’ayman bertanya.

“Ya, tentu sahaja” jawab mereka.

“Cuma, aku ingatkan kamu bahawa dia itu banyak mulut. Nanti dia akan mendakwa bahawa dia itu orang merdeka dan bukan hamba. Kalau keteranganku ini menyebabkan kamu tidak mahu membelinya, maka lupakan sahaja hal ini. Jangan susahkan aku dengan masalah lelaki itu!” tegas Nu’ayman.

“Tidak mengapa. Kami mahu membelinya!” orang ramai bersetuju dengan tawaran tersebut.

Setelah mengambil beberapa ekor haiwan ternakan sebagai tukaran, Nu’ayman membawa mereka kepada Suwaybit.

“Hah, itu pun dia!” kata Nu’ayman.

“Eh, aku lelaki merdeka. Aku bukan hamba abdi!” Suwaybit meronta-ronta mahu melepaskan diri.

“Sudahlah. Dia (Nu’ayman) telah pun menceritakan segalanya tentang kamu kepada kami” balas orang ramai itu.

Mereka mengikat Suwaybit dengan tali hingga ke leher dan membawanya pergi.

Tidak lama selepas itu Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu kembali. Terkejut dengan apa yang berlaku, Abu Bakr memulangkan kembali haiwan ternakan pada Nu’ayman kepada pemilik-pemiliknya dan membebaskan Suwaybit. Hal itu dibawa kepada Rasulullah sallalaahu ‘alayhi wa sallam.

Baginda tidak marah.

Malah Baginda ketawa.

Ketawa bersama para sahabat hingga ke beberapa tahun selepas itu setiap kali mereka teringatkan gelagat Nu’ayman.

Kisah ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad daripada Ummu Salamah radhiyallaahu ‘anha.

SARDONICISM

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bergurau.

Namun guraunnya berisi. Tidak pernah berlebihan. Malah jauh sekali berisi pembohongan.

“Celakalah orang yang berbicara lalu dia berdusta kerana mahu orang ramai ketawa. Celakalah baginya. Celakalah baginya” [Hadith riwayat Ahmad dan al-Darimi]

Apabila sesuatu itu salah tempat, salah cara dan salah niat, segalanya berubah menjadi dosa.

Bukan semua lawak itu menghiburkan. Ada jenaka yang menyakitkan. Jenaka yang tidak kena tempat. Jenaka yang dipaksa-paksa. Hingga berubah menjadi tabiat lalu digelar kaum Melayu sebagai LOYAR BURUK.

“Waah, kayalah kamu, Din. Nanti jangan lupa belanja aku!” kata Abu sambil menepuk peha rakannya yang sedang sugul menguruskan jenazah bapanya.

Lawak itu bukan lagi gurauan yang menghiburkan. Ia berubah menjadi senda yang menyeksa.

Ia menjadi Sardonicism.

Satu cara bercakap atau menulis yang berupa ekspresi berasaskan ejekan, sinis dan skeptis, termasuk ketika melontarkan gurauan.

Pengalaman saya mengendalikan kursus-kursus tidak kira pesertanya itu pelajar mahu pun kelompok dewasa lagi profesional, amat sukar untuk mendepani golongan Loyar Buruk yang tidak dapat atau sengaja tidak mahu membezakan keadaan yang sesuai untuk bergurau.

“Bagaimanakah keadaannya kalau hal ini berakhir dengan sebuah kematian?” saya menyoal peserta.

“Huhuhu… insafnya!” sampuk seorang peserta. Berpura-pura menangis.

Ia sangat jengkel.

Saya kasihan kerana selalunya individu seperti ini berakhir dengan kehilangan kawan. Namun atas dasar empati, saya cuba berbaik sangka bahawa orang yang suka berkelakuan sedemikian rupa, sering berbuat demikian kerana mahu membina topeng untuk menyembunyikan wajahnya yang sebenar. Penuh duka,malang barangkali. Ia sering begitu. Terpulang kepada kesungguhan dan kebijaksanaan penceramah mendekati dan mengorek apa yang tersembunyi, sambil bersabar dengan Loyar Buruk yang memeningkan itu.

BUKAN SEMUA LAWAK ITU GURAUAN

“Hahaha… aku ceraikan engkaulah kalau begitu ya!” seorang suami ketawa besar.

Isteri sudah berubah wajah.

“Tiga perkara yang bersungguhnya pun dikira, bergurau mengenainya pun dikira juga: nikah, talak dan membebaskan hamba abdi” [Hadith riwayat Abu Daud, al-Tirmidhi dan Ibn Majah]

Bergurau biar bertempat.

Bergurau biar berilmu.

KEINDAHAN ISLAM

“Tak baik gelak-gelak. Tak tsiqah!” kata seorang naqibah kepada anak buahnya.

Pelajar-pelajar baru itu terdiam.

Benarkah begitu?

Berhati keras, bermasam muka, tidak bergurau, tidak faham gurauan dan miskin senyuman apatah lagi ketawa, adalah watak yang jauh daripada keperibadian Nabi sallalaahu ‘alayhi wa sallam.

Bergurau senda dan ketawa yang berlebihan, tidak kena masa dan suasana juga dicela oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Bergurau sendalah dengan isteri, suami dan anak-anak. Bergurau sendalah dengan mad’u di dalam dakwah. Bergurau sendalah dalam kehidupan seharian. Ia menyegarkan fikiran, merangsang perhatian dan menyemai kasih sayang yang berpanjangan.

Bersederhanalah!

Indahnya Islam kerana semuanya tepat pada sebuah kesederhanaan.

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com
68000 AMPANG